ARTIKEL


PERUNTUKAN MASA BAGI PENDIDIKAN KHAS


Sila klik di sini Peruntukan Masa








MEMBINA RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN (RPH) UNTUK KELAS INTEGRASI MASALAH PEMBELAJARAN

Sumber:
Prof. Madya Dr. Lee Lay Wah

Proses penyediaan Rancangan Pengajaran Harian yang bersesuaian untuk mengajar kelas integrasi masalah pembelajaran dengan merujuk kepada satu contoh RPH di bawah. Setiap RPH biasanya mengandungi tiga peringkat iaitu peringkat perancangan sebelum pengajaran, peringkat perlaksanaan pengajaran serta peringkat penilaian.

Pada peringkat perancangan sebelum mengajar, dua perkara penting yang perlu dikenalpasti adalah isi kandungan yang bersesuaian dengan tahap keupayaan murid serta penetapan objektif pembelajaran. Dalam merancang isi kandungan, guru perlu memahami terlebih dahulu konsep-konsep asas yang seharusnya dikuasai untuk membolehkan seseorang dapat mempelajari sesuatu topik tersebut. Konsep-konsep asas ini boleh dikenalpasti dengan membuat analisis tugasan mengenai topik tersebut. Analisis tugasan merupakan proses untuk memecahkan sesuatu topik kepada konsep-konsep asas (tugasan) yang lebih kecil. Biasanya konsep asas yang lebih kecil ini perlu diajar mengikut urutan yang tertentu. Sebagai contoh, untuk menulis karangan ayat mudah tentang cara menaiki bas awam (rujuk contoh RPH), murid perlu mempunyai kefahaman lisan tentang perkataan/frasa seperti bas, beratur, naik, membayar wang, mengambil tiket, tempat duduk, loceng, turun terlebih dahulu sebelum dapat menguasai cara menaiki bas awam. Cara menaiki bas awam pula dipecahkan kepada tugasan yang lebih kecil seperti yang ditunjukkan di dalam contoh. Kerap kali guru pelatih mempunyai salah tanggapan bahawa langkah pengajaran adalah analisis tugasan untuk topik tersebut. Sebenarnya tidak, sebab langkah pengajaran merupakan aktiviti-aktiviti yang kita gunakan untuk membina konsep asas/tugasan tersebut dalam murid.

Seterusnya, cara mengajar dirancang berpandukan kepada objektif pembelajaran. Kita perlu memikirkan aktiviti atau langkah pengajaran yang sesuai untuk mencapai objektif yang ditetapkan. Banyak jenis model pengajaran boleh digunakan. Salah satu model pengajaran yang didapati berkesan untuk mengajar murid bermasalah pembelajaran adalah model pengajaran terus (direct instruction). Model Pengajaran Tiga Langkah ePKhas iaitu ModelBimbimbingCuba (Lee, 2009) merupakan satu strategi pengajaran yang berpandukan kepada pengajaran terus. Langkah pertama dalam model pengajaran ini adalah untuk menunjuk/memodel sesuatu konsep/tugasan secara terus dan nyata kepada murid. Secara kebiasaannya, guru merupakan model di dalam kelas yang akan menunjukkan langkah tersebut. Selepas guru memodel sesuatu konsep/langkah, guru boleh meneguhkan lagi kefahaman murid dengan meminta murid aras sederhana dalam kelas untuk memodel sekali lagi langkah pengajaran tersebut di depan kelas. Langkah memodel ini juga boleh dilaksanakan dengan menggunakan sokongan teknologi. Dalam contoh RPH di bawah, langkah memodel dilaksanakan dengan menayangkan sebuah video ringkas (video modeling) (Lee, 2010b).

Selepas memodel sesuatu konsep, langkah pengajaran seterusnya adalah untuk membimbing murid melaksanakan tugasan tersebut. Langkah ’bimbing’ adalah untuk menolong murid mempraktikkan konsep/tugasan yang telah ditunjukkan. Langkah pengajaran ini dipanggil sebagai ’bimbing’ sebab murid masih memerlukan bimbingan/sokongan daripada guru untuk mempraktikkan tugasan tersebut. Tujuan bimbingan digunakan adalah untuk meningkatkan lagi peluang kejayaan murid dalam melaksanakan aktiviti tersebut. Pelbagai jenis bimbingan boleh digunakan bersesuaian dengan tahap keupayaan murid. Dalam contoh di bawah, bimbingan yang digunakan dalam aktiviti untuk murid aras sederhana adalah senarai perkataan yang diberikan kepada mereka untuk memilih dan mengisikan tempat kosong dengan bantuan guru. Murid aras rendah perlu lebih banyak bimbingan untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Dalam contoh di bawah, mereka diberikan gambar bersiri serta perkataan tertentu dan mereka hanya perlu memadankan gambar dengan perkataan tersebut dengan bantuan guru. Kedua-dua aktiviti bimbingan ini bertujuan untuk melatih murid memahami cara menaiki bas awam, tetapi murid aras sederhana dan murid aras rendah akan menunjukkan kefahaman mereka dengan cara yang berlainan, iaitu bersesuaian dengan tahap kemampuan mereka. Ini bermaksud murid aras rendah yang tidak tahu mengeja ataupun membaca, masih boleh mempelajari konsep lain. Guru hanya perlu mencari cara lain untuk mendapatkan respon daripada mereka. Respon yang dikehendaki daripada murid aras rendah dalam contoh RPH ini adalah untuk menklik pada butang yang disediakan dalam perisian komputer. Semasa langkah bimbing, banyak jenis aktiviti bimbingan boleh digunakan untuk menolong murid melatih tubi.

Apabila murid sudah lebih bersedia, bimbingan dipudarkan ataupun dikurangkan supaya murid dapat melaksanakan aktivti tersebut dengan lebih berdikari. Ini merupakan langkah ’Cuba’ dalam Model Pengajaran Tiga Langkah. Murid dinilai secara berterusan semasa mereka mencuba untuk melakukan tugasan tersebut secara berdikari.

Guru boleh merancang supaya murid aras rendah serta murid aras sederhana boleh melaksanakan aktiviti secara berkolaborasi. Sebagai contoh, di bahagian penutup RPH, murid aras sederhana akan membaca karangan ringkas mereka dengan bantuan guru sementara murid aras rendah pula akan mencuba untuk menyusun gambar mengikut karangan ringkas yang sedang dibaca oleh kawannya.

Satu lagi perkara yang perlu kita memberi perhatian adalah kebanyakan murid bermasalah pembelajaran perlu sokongan visual untuk mempelajari sesuatu konsep. Dengan hanya bergantung kepada input secara verbal, besar kemungkinan sesetengah murid tidak boleh mengikutinya. Pembelajaran yang menggunakan dua saluran deria dapat mengayakan sesuatu konsep pembelajaran. Walau bagaimanapun, terdapat juga murid bermasalah pembelajaran yang hanya boleh menerima input secara berurutan dan tidak boleh memproses maklumat secara serentak. Dalam keadaan ini, sekiranya mereka tidak boleh memproses maklumat verbal, masih terdapat lagi saluran visual untuk menolong mereka memproses. Tambahan lagi, sekiranya mereka melaksanakan sesuatu tugasan dengan menggunakan keupayaan motor mereka, maka mereka akan lebih senang mengingat. Buat pepatah orang tua ’Saya dengar saya lupa; saya lihat saya tahu; saya buat, saya faham.’ Pendekatan menggunakan pelbagai saluran deria pembelajaran sekarang disebut sebagai pendekatan multisensori dalam bidang pendidikan.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian semasa mengajar murid bermasalah pembelajaran adalah untuk menolong mereka mengeneralisasikan konsep yang telah dipelajari. Sebagai contoh, adalah tidak memadai untuk mengajar murid setakat membaca dan mengeja perkataan sahaja, tetapi guru perlu menunjukkan situasi di mana perkataan tersebut digunakan dalam keadaan sebenar. Guru perlu beriktiar untuk mengaitkan kemahiran yang mereka pelajari dalam kelas dengan kemahiran yang mungkin berguna untuk mereka dalam kehidupan seharian. Dalam contoh RPH ini, mengikut topik sukatan pelajaran, murid sedang mempelajari cara menulis karangan ringkas. Tetapi, dengan memilih topik karangan yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka (cara menaiki bas), maka dua perkara sudahpun boleh dipelajari dalam sesuatu pelajaran.

Seberapa yang boleh, kita perlu berusaha untuk meningkatkan lagi kemahiran murid kita ke peringkat pembelajaran yang lebih tinggi. Sebagai contoh, adalah tidak memadai untuk mengajar murid kita untuk melabel sesuatu benda seperti ’Ini baju’. Melabel merupakan objektif pembelajaran peringkat rendah. Guru boleh mengayakan pengalaman mereka dengan menambahkan lagi adjektif untuk baju seperti baju merah, baju lengan panjang dsbnya. Guru juga boleh mengajar murid untuk membezakan antara pelbagai jenis baju seperti baju tidur, baju untuk bersukan dsbnya.

Setiap hari, guru pendidikan khas akan menghadapi cabaran yang berlainan dalam kelas sama ada dari segi kognitif ataupun dari segi sosio-emosi dan tingkah laku, maka seseorang guru pendidikan khas perlu menjadi seorang yang pakar dalam proses penyelesaian masalah. Akhir kata, kemahiran untuk menyelesaikan masalah yang timbul merupakan sesuatu kemahiran yang penting bagi seseorang guru pendidikan khas.